Sunday, August 31, 2014

Pendahuluan

Buku Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar Edisi Kedua ditulis khusus untuk pelajar-pelajar yang mengikuti kursus di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan Diploma Pendidikan di universiti-universiti tempatan dan di institut-institut perguruan. Tajuk-tajuk yang disusun secara sistematik membolehkan pelajar memahami teori dan aplikasi unsur-unsur psikologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam edisi kedua ini, beberapa subtopik baharu dan nota terkini ditambah untuk membolehkan pelajar menggunakannya sebagai rujukan berinformatif yang mutakhir.

Buku Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar Edisi Kedua memberikan motivasi kepada para pelajar dalam penerimaan ilmu pengetahuan dan pengalaman kehidupan seseorang. Tajuk-tajuk yang dimuatkan di dalam buku ini merangkumi aspek teori dan aplikasi tentang pembelajaran. Selain itu, turut dimuatkan ialah personaliti pelajar remaja, pembelajaran melalui kognitif, afektif dan psikomotor.

Dalam mendekati pelajar remaja dalam suasana bilik darjah, topik-topik seperti pembelajaran berasaskan minda, kecerdasan pelbagai, gaya pembelajaran, modifikasi tingkah laku, kemahiran pemikiran dan dorongan dalaman terhadap pembelajaran remaja dilihat antara topik pembelajaran yang dibincangkan di dalam buku ini.

Topik-topik yang dimuatkan di dalam buku adalah sesuai sebagai bahan rujukan untuk pelajar mendalami ilmu Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar yang dianggap penting dalam menangani masalah pembelajaran dan tingkah laku di peringkat sekolah rendah, menengah, institut-institut perguruan dan universiti.

Para penulis berharap agar buku ini dapat membantu para pensyarah, guru dan pelajar mengharungi dunia pendidikan, khususnya. Topik-topik yang mendasari aspek psikologi pendidikan sebagai kursus profesionalisme perguruan dapat memberikan manfaat kepada para pensyarah dan pelajar di peringkat pengajian tinggi dan para guru yang mengajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia.

 

Suppiah Nachiappan

Kamarulzaman Kamaruddin

Abdul Aziz Abdul Shukor

Ramlah Jantan

Roslinda Mustapha

Hazalizah Hamzah

 

Kata Alu-aluan

Buku Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar ditulis untuk dijadikan bahan rujukan, khusunya untuk pelajar yang sedang belajar di institut-institut pengajian tinggi dan institut-institut perguruan yang ingin menceburi bidang profesion perguruan. Kini edisi kedua buku ini diterbitkan untuk menambah baik kandungan mengikut kehendak semasa.

Buku ini dihasilkan memandangkan struktur kursus semasa yang menuntut perubahan. Tajuk-tajuk yang disusun dalam buku ini berkisar kepada aspek pembelajaran, khususnya ilmu psikologi pendidikan. Maka, adalah wajar sekiranya buku ini dijadikan sebagai bahan rujukan oleh guru yang mengajar di semua peringkat persekolahan. Penghuraian teori yang mudah dan aplikasinya dalam pengajaran dan pembelajaran, khususnya di peringkat sekolah menengah dan rendah dapat membantu guru menyampaikan ilmu pengetahuan ke arah penyelesaian masalah pembelajaran dan tingkah laku pelajar.

Saya berpendapat buku ini sangat diperlukan sebagai buku rujukan yang menampung koleksi buku dalam bidang psikologi pendidikan. Falkulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris menghargai sumbangan penulisan yang berbentuk akademik ini dalam kelas-kelas kuliah dan tutorial kelak.

Kesungguhan usaha para penulis yang juga pensyarah-pensyarah kursus Psikologi Pendidikan daripada falkulti ini akhirnya telah membuahkan hasil dengan terbitnya buku ini. Semoga buku ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar bakal guru, khususnya di institut-institut pengajian tinggi dan warga sekolah, khususnya para guru yang sedang mengajar di sekolah-sekolah menengah dan rendah di seluruh Malaysia.

 

Pro. Madya Dr. Noor Shah bin Saad

Dekan

Falkulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Tanjung Malim, Perak