BAB 1 Pelajar sebagai Pembelajar

BAB 1 Pelajar sebagai Pembelajar. 1

1.0 Pengenalan. 1

1.1 Tahap Perkembangan Manusia. 1

1.1.1 Faktor yang Mempengaruhi Perkembangan Manusia. 1

1.2 Definisi dan Perkembangan Remaja Sepintas Lalu. 1

1.3 Ciri-ciri Remaja sebagai Penuntut Ilmu. 1

1.4 Persekitaran Pembelajaran yang Berkesan untuk Pelajar Remaja Masa Kini 1

1.5 Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pembelajaran Remaja. 1

BAB 1 Pelajar sebagai Pembelajar

HASIL PEMBELAJARAN

Selepas membaca bab ini, pelajar akan dapat:

-Menghuraikan tahap perkembangan manusia.

-Membincangkan faktor yang mempengaruhi perkembangan manusia.

-Menerangkan definisi dan perkembangan remaja secara umum.

-Menghuraikan ciri-ciri remaja sebagai penuntut ilmu.

-Mengenal pasti persekitaran yang sesuai untuk pelajar remaja.

-Menilai faktor yang mempengaruhi pembelajaran remaja.

(Sila beli buku ini untuk rujukan yang terperinci)

Title: Pelajar sebagai Pembelajar - Description: Tahap Perkembangan Manusia
Definisi Remaja
Ciri Penuntut Ilmu
Persekitaran Pembelajaran
Pengaruh ke atas Pembelajaran
Pengaruh ke atas Perkembangan Manusia
Perkembangan Remaja
Diri Pelajar, Keluarga, Sekolah

1.0 Pengenalan

Pada abad yang ke-21 ini, zaman persekolahan merupakan suatu pengalaman yang dilalui oleh hampir semua kanak-kanak dan remaja di dunia. Dalam usia yang masih mentah, persekolahan selalu dilihat oleh kanak-kanak dan remaja sebagai satu peluang untuk bertemu dengan rakan sebaya, berkawan dan saling berhubungan. Di sekolah juga para pelajar boleh mendapatkan model terbaik untuk dicontohi, iaitu daripada kalangan guru. Walaupun terdapat pelbagai fungsi tersiratnya, fokus utama dalam agenda persekolahan ialah proses pembelajaran dan perkembangan pelajar.

Pembelajaran merupakan proses seseorang pelajar memperoleh sesuatu kefahaman atau konsep dan mengubah serta mengabaikan kefahaman atau konsep tertentu yang telah dipelajari itu.Pembelajaran merupakan proses seseorang pelajar memperoleh sesuatu kefahaman atau konsep dan mengubah serta mengabaikan kefahaman atau konsep tertentu yang telah dipelajari itu (Murphy dan Alexander, 2006). Bagi mencapai salah satu daripada matlamat persekolahan, pengetahuan yang diperoleh menerusi proses pembelajaran itu kemudiannya diuji dan dinilai dalam bentuk peperiksaan yang sesuai dengan tahap perkembangan pelajar. Akhirnya, setelah pelajar diakui telah menguasai sesuatu bidang pelajaran tertentu, maka diharapkan akan berlaku pemindahan pengetahuan dan perubahan tingkah laku yang sewajarnya.

Proses pembelajaran dan pengalaman menimba ilmu akan berubah sejajar dengan peralihan peringkat pengajian, misalnya dari peringkat sekolah rendah ke sekolah menengah. Dalam konteks ini, bukan sahaja bahan pembelajaran menjadi semakin sukar kerana perlu disesuaikan mengikut tahap perkembangan kognitif remaja, malah mereka juga dipertanggungjawabkan untuk memperoleh pencapaian akademik yang lebih tinggi. Selain itu, pengajian mereka juga akan lebih mengkhusus serta akan mempengaruhi pemilihan bidang pengajian di kolej atau universiti dan bidang pekerjaan mereka pada masa hadapan.

Dengan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi pada peringkat menengah, proses pembelajaran remaja di sekolah tidak selalunya tenang. Pada masa-masa tertentu, akan berlaku peristiwa yang mungkin tidak menyeronokkan. Misalnya, kejadian pelajar gagal memberikan jawapan yang tepat setelah menawarkan diri untuk menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru. Pelajar itu mungkin begitu yakin dengan jawapan yang diberikan, malangnya jawapan itu salah. Peristiwa ini akan menjadi suatu pengalaman yang sangat pahit bagi pelajar tersebut sekiranya guru berkenaan kurang arif dalam menangani suasana sedemikian. Justeru, akan timbul perasaan kurang enak dalam diri remaja seperti malu, tidak bermotivasi lagi untuk mengambil bahagian dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta berasa sangsi dengan kemampuan sendiri.

Kesan negatif yang dialami oleh remaja seperti dalam contoh di atas sedikit sebanyak dapat dikurangkan sekiranya bakal guru dibekalkan dengan pengetahuan asas tentang sifat-sifat pelajar remaja. Berikutan itu, dalam bab pertama ini, para bakal guru akan didedahkan dengan gambaran awal tentang pelajar remaja dan hal-hal yang bersangkutan dengan pembelajaran mereka. Bab ini dimulakan dengan huraian tentang lapan tahap perkembangan manusia serta faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan manusia. Kemudian, definisi remaja dan perkembangan kelompok remaja akan diterangkan secara sepintas lalu. Perubahan dan perkembangan diri remaja akan diperhalus dalam bab yang kedua. Dalam bab yang pertama ini juga, pembaca akan didedahkan dengan ciri-ciri remaja sebagai penuntut ilmu, persekitaran pembelajaran yang berkesan untuk pelajar remaja masa kini dan akhir sekali, faktor yang mempengaruhi pembelajaran remaja (Sila beli buku ini untuk rujukan yang terperinci).

 

1.1 Tahap Perkembangan Manusia

Bahagian ini akan menghuraikan tahap perkembangan manusia. Sebelum itu, kita akan pelajari dahulu makna perkembangan manusia. Selain itu, tiga aspek perkembangan manusia juga akan diterangkan .

Perkembangan manusia merujuk kepada pola perubahan yang dilalui oleh seseorang, bermula daripada proses persenyawaan ke hingga penghujung hayatnya.Perkembangan manusia merujuk kepada pola perubahan yang dilalui oleh seseorang, bermula daripada proses persenyawaan hingga penghujung hayatnya. Kebanyakan proses perkembangan manusia melibatkan pertumbuhan dan perkembangan, namun berlaku juga kemerosotan dari tiga aspek iaitu aspek fizikal, kognitif dan sosioemosi.

Perkembangan aspek fizikal merujuk kepada perubahan pada tubuh luaran dan dalaman manusia. Pengaruh genetik yang kita peroleh daripada ibu bapa kandung, perkembangan otak, ketinggian, perubahan berat badan, peningkatan kemahiran motor dan perubahan hormon merupakan antara contoh perkembangan aspek fizikal. Perkembangan kognitif pula dicirikan dengan kemajuan serta kekurangan dalam aspek pemikiran dan kecerdasan. Aktiviti minda seperti penghafalan sajak, penyelesaian masalah matematik dan khayalan tentang kehidupan masa depan menunjukkan perkembangan aspek kognitif. Sementara itu, perihal emosi, personaliti dan hubungan dengan orang lain tergolong dalam perkembangan aspek sosioemosi. Remaja yang melawan cakap orang tua, bertindak langsang terhadap rakan sebaya dan menunjukkan rasa seronok ketika berada dalam aktiviti sosial adalah antara contoh perkembangan aspek sosioemosi. Walaupun ketiga-tiga aspek perkembangan fizikal, kognitif dan sosioemosi ini dibincangkan secara terpisah, namun semua aspek tersebut sebenarnya sangat berkaitan dan saling mempengaruhi antara satu sama lain.

Kebanyakan buku tentang perkembangan manusia mengemukakan lapan tahap perkembangan manusia seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 1.1 (Sila beli buku ini untuk rujukan yang terperinci). Oleh sebab perkembangan seseorang manusia itu berbeza antara satu dengan yang lain, pembahagian umur untuk setiap tahap tersebut dinyatakan secara anggaran sahaja. Dengan kata lain, ada individu yang mencecah suatu tahap perkembangan lebih cepat atau lebih lambat daripada pembahagian umur yang dinyatakan dalam bab ini.

Secara fitrahnya, perkembangan manusia bermula apabila sperma daripada seorang lelaki disenyawakan dengan ovum dalam rahim seorang wanita. Pertumbuhan sel selepas persenyawaan berlaku dengan pesat. Daripada setitis darah, sel akan membentuk seketul daging dan kemudian akan ditiupkan roh. Janin dalam kandungan seorang ibu akan terus membesar dan matang dengan bergantung sepenuhnya kepada tubuh ibu tersebut. Tempoh janin berada dalam rahim ibu selama sembilan bulan dan sepuluh hari ini dikenali sebagai zaman pra kelahiran.

Selepas dilahirkan, janin dikenali sebagai bayi. Zaman bayi berlanjutan sehingga umur bayi mencecah tiga tahun. Walaupun dalam tempoh ini pergantungan seseorang bayi ke atas orang dewasa sangat tinggi, namun mereka memperoleh pelbagai kepandaian seperti kemahiran berbahasa, pemikiran simbolik dan kemahiran sosial.

Selepas mencapai umur tiga tahun, bayi melangkah ke zaman kanak-kanak awal yang bermula dari penghujung zaman bayi sehingga kanak-kanak tersebut masuk ke alam persekolahan formal. Pada zaman ini, tubuh kanak-kanak terus membesar dan kuat. Kebanyakan mereka akan memasuki institusi pendidikan prasekolah atau tadika. Maknanya, mereka sudah mula berdikari dan pandai menjaga diri sendiri. Mereka asyik bermain terutamanya dengan rakan sebaya. Kesediaan mereka untuk masuk ke darjah satu terpamer pada sikap mereka yang boleh mematuhi arahan dan kebolehan mereka mengecam nombor dan abjad.

Pada usia tujuh tahun, kebanyakan kanak-kanak di seluruh dunia akan mula mengikuti pelajaran secara formal. Zaman kanak-kanak pertengahan ini berlanjutan sehingga kanak-kanak mencapai baligh. Pada tahap ini, kawalan kendiri mereka meningkat dan mereka mula terdedah kepada dunia luar serta pelbagai jenis budaya. Mereka sudah boleh menguasai kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira. Isu pencapaian akademik dan sukan merupakan antara perkara pokok bagi kanak-kanak zaman pertengahan.

Seterusnya, kanak-kanak pertengahan akan memasuki zaman remaja yang ditandai dengan proses baligh. Definisi dan perkembangan remaja akan diterangkan dalam bahagian 1.2 bab ini dan dilanjutkan perbincangan mengenainya dengan terperinci dalam Bab 2.

Zaman yang paling mantap dalam perkembangan manusia ialah zaman dewasa awal, iaitu merujuk kepada individu yang berumur antara 20 hingga 40 tahun. Pada zaman ini, kebanyakan orang dewasa mencapai kemuncak keupayaan fizikal serta melalui peristiwa-peristiwa penting dalam kehidupan mereka seperti menjalin percintaan secara serius, mendirikan rumah tangga, mempunyai anak sendiri, membina kerjaya, mengumpul harta, mendapat pengiktirafan dan mencapai pelbagai kejayaan.

Kalau orang dewasa awal mempunyai kelebihan dari segi kekuatan fizikal, orang dewasa pertengahan pula dihormati kerana kematangan dan kemampuan mental mereka. Kebanyakan mereka akan mencapai puncak dalam kerjaya seperti mendapat kenaikan pangkat serta menjadi ketua dalam organisasi dan memimpin masyarakat. Pada tahap ini juga, orang dewasa pertengahan yang mempunyai anak akan berpisah dengan anak seorang demi seorang kerana mereka mendirikan rumah tangga dan mempunyai kehidupan berkeluarga sendiri. Di samping itu, ada juga orang dewasa pertengahan yang terpaksa menjaga orang tua mereka yang telah uzur. Peristiwa-peristiwa seperti ini membuatkan orang dewasa pertengahan kerap membuat refleksi tentang makna kehidupan serta mulai memindahkan nilai dan prinsip hidup mereka kepada generasi muda.

Tahap kelapan dalam perkembangan manusia bermula pada usia 60-an hingga hembusan nafas terakhir. Pada zaman ini, orang dewasa lanjut mengalami kemerosotan dari aspek fizikal, kognitif dan sosioemosi. Kebanyakan mereka telah bersara, justeru kemampuan kewangan mereka juga menurun. Orang dewasa lanjut sangat memerlukan sokongan sosioemosi daripada keluarga dan teman akrab terutamanya ketika uzur. Mereka juga paling kerap berfikir tentang kematian berbanding individu dalam tahap perkembangan yang lain (Sila beli buku ini untuk rujukan yang terperinci).

 

1.1.1 Faktor yang Mempengaruhi Perkembangan Manusia

Perkembangan manusia pada asasnya dipengaruhi oleh faktor baka khususnya bagi kebanyakan perkembangan aspek fizikal. Faktor baka merujuk kepada ciri-ciri genetik yang kita peroleh daripada ibu bapa kandung kita. Warna kulit, ketinggian dan raut wajah kita ditentukan oleh faktor keturunan. Sungguhpun demikian, faktor baka turut berperanan dalam aspek perkembangan kognitif seperti kecerdasan dan aspek perkembangan sosioemosi seperti kecenderungan perasaan kita.

Dalam keluarga nukleus; dua generasi iaitu ibu bapa dan anak-anak tinggal serumah.
Dalam keluarga luas sekurang-kurangnya tiga generasi iaitu ibu bapa, anak-anak dan datuk nenek tinggal serumah.
Contoh-contoh status sosioekonomi termasuklah jumlah pendapatan, taraf pendidikan dan jenis pekerjaan.
Kehadiran atau sebaliknya ketiadaan sesuatu peristiwa dalam tempoh kritikal akan memberikan kesan yang besar terhadap perkembangan manusia.
Kebanyakan perubahan tipikal bagi bayi dan kanak-kanak seperti kebolehan untuk berjalan dan bertutur kata pula dipengaruhi oleh faktor kematangan tubuh dan otak. Oleh sebab kematangan tubuh dan otak berbeza antara seseorang individu dengan individu yang lain, maka ada individu yang berjalan dan mula bercakap lebih cepat atau lebih lambat berbanding individu lain seusia dengannya. Faktor kematangan organ dalaman seperti kelenjar seks pula mempengaruhi detik seseorang kanak-kanak mencapai proses baligh.

Di samping itu, perkembangan manusia turut dipengaruhi oleh faktor persekitaran terutamanya perkembangan dari aspek sosioemosi seperti personaliti. Contoh faktor persekitaran ialah seperti bentuk keluarga, status sosioekonomi, budaya dan bangsa, konteks sejarah serta tempoh kritikal. Rajah 1.1 menunjukkan contoh-contoh khusus pengaruh persekitaran ke atas perkembangan manusia.

 

Rajah 1.1 Contoh Khusus Pengaruh Persekitaran ke atas Perkembangan Manusia

 

1.2 Definisi dan Perkembangan Remaja Sepintas Lalu

Zaman remaja merupakan satu tempoh peralihan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa. Secara puratanya, zaman remaja bermula pada sekitar umur sebelas tahun dan berakhir lebih kurang sepuluh tahun berikutnya, iaitu pada usia awal 20-an. Seorang kanak-kanak dikatakan telah menjadi seorang remaja apabila mengalami baligh. Proses ini menunjukkan bahawa sistem reproduktif seorang kanak-kanak itu telah matang.

Pancutan air mani kali pertama oleh kanak-kanak lelaki dikenali sebagai spermarche.Bagi kanak-kanak lelaki, baligh ditandai dengan kemampuan sistem badan mereka untuk menghasilkan sperma yang terkandung dalam pancutan air mani kali pertama. Proses pengeluaran sperma julung-julung kali ini dikenali sebagai spermarche (Papalia, Olds & Feldman, 2007). Kebanyakan kanak-kanak lelaki mengalami spermache, ketika sedang tidur dan kadang-kadang proses itu didorong oleh suatu mimpi. Oleh yang demikian, pancutan air mani kali pertama juga dikenali sebagai mimpi basah. Baligh kanak-kanak lelaki boleh berlaku seawal umur 13 tahun.

Pengeluaran darah haid yang pertama oleh kanak-kanak perempuan dikenali sebagai menarche.Bagi kanak-kanak perempuan pula, baligh ditunjukkan dengan pengeluaran darah haid yang pertama atau menarche (Papalia, Olds & Feldman 2007). Baligh kanak-kanak perempuan boleh berlaku seawal umur 9 tahun. Biasanya, kanak-kanak perempuan yang bertubuh besar akan mengalami baligh lebih awal berbanding kanak-kanak bertubuh kecil.

Proses baligh berlaku disebabkan perubahan hormon di dalam badan. Perubahan kadar pengeluaran hormon ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya pertumbuhan fizikal yang cepat dan mendadak, malah menyebabkan perubahan pada perkembangan kognitif dan psikososial remaja. Dari segi perkembangan fizikal misalnya, ketinggian, berat badan dan bentuk tubuh remaja akan mengalami perubahan yang besar. Jika ditinjau dari aspek kognitif pula, pada tahap ini kebanyakan remaja sudah mampu berfikir tentang perkara-perkara abstrak dan melakukan penaakulan saintifik. Dalam tempoh ini, otak remaja masih melalui proses pertumbuhan dan perkembangan. Justeru, kadangkala kita mendapati ada segelintir remaja yang cenderung membuat pertimbangan yang tidak tepat, tidak matang dan tidak munasabah. Pencarian identiti diri dan peranan rakan sebaya pula merupakan antara perkembangan aspek psikososial yang sangat penting untuk remaja.

Oleh sebab zaman remaja merupakan satu zaman yang penuh dengan perubahan rencam, maka keperluan fizikal, kognitif dan psikologi mereka mesti menjadi fokus utama dalam proses pembelajaran. Begitu juga dengan perbezaan yang dibawa masuk oleh mereka bersama ke dalam kelas, misalnya perbezaan dari aspek budaya, pengalaman dan pengetahuan sedia ada. Justeru, peranan guru adalah sangat penting dalam membimbing pembelajaran remaja agar aspek fizikal, kognitif dan psikososial mereka berkembang dengan sebaik mungkin.

Perkembangan remaja akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam Bab 2. Perbincangan tersebut meliputi perkembangan remaja awal dan remaja akhir dari aspek fizikal, kognitif serta sosioemosi.

 

1.3 Ciri-ciri Remaja sebagai Penuntut Ilmu

Secara umumnya, pada zaman remaja, tempoh penumpuan terhadap pelajaran dan pengawalan tingkah laku kendiri pelajar remaja biasanya meningkat, manakala tingkah laku hiperaktif akan menurun (McDevitt dan Ormrod, 2004). Sebelum kita meneliti ciri-ciri remaja sebagai penuntut ilmu secara khusus, ada baiknya kita lihat dahulu ciri-ciri penuntut ilmu seperti yang digariskan oleh Bandura (2001). Pengenalpastian ciri-ciri penuntut dapat membantu kita untuk memahami keadaan-keadaan yang membolehkan pembelajaran remaja berlangsung dengan cara yang paling berkesan dan terbaik.

Menurut Bandura (2001), seseorang penuntut mempunyai keupayaan untuk menggambarkan sesuatu perkara secara simbolik. Keupayaan menggambarkan sesuatu secara simbolik ini merupakan suatu proses asas dalam semua jenis pembelajaran. Dengan keupayaan ini, penuntut dapat menggambarkan sesuatu perkara yang dipelajari atau pengalaman mereka dalam bentuk imaginasi mental dan huraian secara lisan. Contohnya, setelah mempelajari tentang penentangan terhadap penubuhan Malayan Union, penuntut pada asasnya mempunyai keupayaan untuk menggambarkan dan menghuraikan secara lisan tentang peristiwa penentangan tersebut.

Belajar daripada pengalaman sendiri dikenali sebagai pembelajaran secara enaktif.
Belajar daripada pengalaman orang lain dinamakan pembelajaran vicarious.
Selain itu, penuntut juga mempunyai keupayaan untuk belajar daripada pengalaman sendiri dan juga daripada pengalaman orang lain. Belajar daripada pengalaman sendiri dikenali sebagai pembelajaran secara enaktif, manakala belajar daripada pengalaman orang lain dinamakan pembelajaran vicarious, (Bandura, 2001). Menerusi pembelajaran secara vicarious, seorang pelajar dapat mempelajari sesuatu tingkah laku yang kompleks misalnya menjadi langsang.

Bandura dan ahli psikologi aliran kognitif sosial yang lain percaya bahawa penuntut mempunyai keupayaan untuk bertindak secara proaktif, mengawal dan mengurus diri. Proaktif bermaksud pelajar dapat membuat perancangan untuk bertindak bagi mencapai sesuatu yang dihajati. Dengan kata lain, mereka ialah agen yang aktif dalam perkembangan mereka sendiri. Mereka ada keupayaan untuk membentuk matlamat dan membuat perancangan bagi mencapai matlamat tersebut. Sekiranya pelajar mempunyai matlamat yang jelas dan mampu dicapai, mereka boleh menentukan tindakan yang wajar diambil.

Keupayaan membuat refleksi kendiri bermaksud keupayaan untuk berfikir tentang proses pemikiran sendiri dan menganalisis pengalaman sendiri.Akhir sekali, menurut Bandura lagi, penuntut berupaya membuat refleksi kendiri. Maksudnya, mereka mempunyai keupayaan untuk berfikir tentang proses pemikiran sendiri dan menganalisis pengalaman sendiri. Refleksi kendiri digunakan untuk membina kepercayaan dan jangkaan tentang persekitaran diri mereka. Proses membuat refleksi ini penting untuk mengawal proses pembelajaran masing-masing.

Beberapa penulis lain cuba menghuraikan ciri-ciri penuntut dari pelbagai sudut. Misalnya, Lent (2006) melihat ciri-ciri penuntut dari segi tempoh penumpuan, motivasi, pengetahuan sedia ada, sikap terhadap pembelajaran, sikap terhadap pelajaran, minat dan kemahiran teknologi, kekuatan dan cabaran intelektual serta penampilan fizikal. Bagi Reid (2007) pula, ciri-ciri penuntut boleh ditinjau dari aspek kecenderungan belajar seseorang penuntut itu. Ada penuntut yang cenderung dengan pembelajaran secara visual (misalnya, menerusi lukisan, carta dan komputer), pembelajaran secara audiotori (misalnya, membuat senarai dan mencari maklumat), pembelajaran kinestetik (menerusi lawatan dan aktiviti luar bilik darjah) dan pembelajaran tactile (misalnya, membuat demonstrasi dan model). Di samping itu, penuntut dapat dibezakan dari segi minat mereka untuk bekerja dalam kumpulan atau secara individu, tempoh penumpuan, kecekalan atau ketekunan mereka terhadap tugas dalam tempoh yang ditetapkan dan kebertanggungjawaban atau kebolehan mereka untuk berdikari.

Dengan mengkhususkan perbincangan kepada kelompok remaja sahaja, Crawford (2007) menjelaskan beberapa ciri utama remaja sebagai penuntut. Bagi setiap ciri yang dikemukakan, Crawford turut mencadangkan peranan atau tindakan yang dapat diambil oleh para guru.

Ciri pertama yang dicadangkan oleh Crawford ialah remaja merupakan penuntut yang aktif. Oleh yang demikian, guru tidak digalakkan untuk terlalu banyak mengarah ketika dalam proses pembelajaran remaja. Hal ini kerana sebagai penuntut yang aktif, remaja lebih bertanggungjawab terhadap pengurusan dan pembelajaran mereka sendiri.

Ciri kedua ialah remaja suka menjelajah banyak perkara dan bertanya pelbagai soalan. Maka dalam sesi pengajaran dan pembelajaran untuk remaja, guru wajar memasukkan kaedah penyoalan, membuat tafsiran, perdebatan dan membuat analisis.

Ciri seterusnya ialah remaja merupakan kumpulan pelajar yang paling rencam dalam sistem pendidikan. Justeru, mengajar kelompok remaja merupakan satu tugas yang sangat mencabar. Tekanan dan harapan pelbagai pihak yang diletakkan pada guru kadangkala melampaui kemampuan masa dan tenaga guru. Apatah lagi dengan hambatan untuk menghabiskan sukatan pelajaran dan penilaian pelajar yang turut mengganggu proses pengajaran. Dalam keadaan ini, ada masanya guru perlu memaksimumkan penyampaian pengajaran serta mengurangkan interaksi dengan pelajar.

 

1.4 Persekitaran Pembelajaran yang Berkesan untuk Pelajar Remaja Masa Kini

Berdasarkan ciri-ciri fizikal, kognitif dan sosioekonomi remaja, Murphy dan Alexander (2006) mengemukakan beberapa cadangan yang dapat dilaksanakan oleh pentadbir sekolah dan guru dalam menyediakan persekitaran yang menggalakkan pembelajaran bagi pelajar remaja. Pembentukan persekitaran pembelajaran yang berkesan adalah sangat penting kerana menurut Bandura (2001), selain faktor pemikiran, jangkaan, kepercayaan dan tingkah laku penuntut, pengaruh persekitaran penuntut juga perlu diambil kira dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Menurut Murphy dan Alexander (2006), pihak pentadbir sekolah dan guru perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang menggalakkan pencapaian, kepuasan dan minat remaja. Pelajar remaja suka akan bahan pembelajaran dan aktiviti kurikulum serta kokurikulum yang sesuai dengan minat peribadi mereka. Untuk itu, guru hendaklah membuat kajian ringkas tentang minat, latar belakang dan budaya pelajar masing-masing agar isu-isu yang berkaitan boleh dimasukkan dalam persekitaran sekolah, tugas kelas dan perbincangan. Sekiranya matlamat pengajaran sama dengan minat pelajar, maka mudahlah bagi guru untuk memastikan pelajar memberikan tumpuan terhadap kandungan dan proses pembelajaran.

Seterusnya, pelajar remaja akan lebih tertarik sekiranya berada dalam persekitaran pembelajaran yang mengiktiraf keunikan mereka sebagai individu yang tersendiri dan menggalakkan daya kreativiti mereka. Salah satu daripada kelebihan pelajar remaja ialah mereka boleh berfikir perkara-perkara abstrak, berfikir secara bebas dan secara kreatif. Pihak sekolah boleh menggunakan kepintaran pelajar remaja untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang bijak. Galakkan mereka untuk memahami masalah dengan cara sendiri dan memikirkan penyelesaiannya. Binalah satu suasana yang melibatkan pelajar dalam pembuatan keputusan bagi aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Persekitaran dan aktiviti pembelajaran juga perlulah menyokong hal ini.

Bagi pelajar remaja, hubungan dengan rakan sebaya sangat penting dalam hidup mereka. Mereka pasti tertarik jika dapat terlibat dengan rakan sebaya dalam aktiviti pembelajaran seperti aktiviti berkumpulan, perbincangan kelas dan pembelajaran bersama. Dengan kata lain, pembelajaran tidak semestinya terfokus kepada guru sahaja. Pembelajaran dengan rakan sebaya akan lebih bermakna jika tahap kognitif dan penaakulan moral berbeza antara satu sama lain. Dengan kata lain, pelajar dalam tahap pemikiran konkrit boleh digabungkan dengan pelajar remaja dalam tahap pemikiran formal.

Remaja bukan sahaja berfikir tentang masa kini tetapi sangat mengambil berat juga tentang masa hadapan mereka. Persoalan yang paling penting berkaitan dengan masa hadapan bagi seorang pelajar remaja ialah kerjaya. Hal ini kerana dalam masa beberapa tahun mendatang, mereka akan masuk ke alam pekerjaan. Justeru, bagi menggalakkan pembelajaran dalam kalangan pelajar remaja, pendedahan khusus tentang pelbagai kerjaya perlulah dijadikan salah satu daripada agenda sekolah. Apabila mereka berada dalam persekitaran yang menekankan perancangan kerjaya masa hadapan mereka, minat mereka terhadap pembelajaran akan dapat ditingkatkan. Bukan itu sahaja, mereka juga akan berupaya membuat keputusan yang lebih bijak dengan pendedahan pelbagai kerjaya.

Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian berkaitan dengan persekitaran pembelajaran ialah penglibatan pelajar dalam aktiviti kemasyarakatan. Pihak sekolah perlu menggalakkan pelajar berfikir tentang hal-hal yang lebih luas daripada keperluan dan kehendak mereka sendiri. Penglibatan dengan masyarakat dalam pembelajaran akan membantu mereka mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di dalam bilik darjah. Selain itu, pemikiran tentang isu-isu kemasyarakatan, budaya dan politik boleh membantu perkembangan moral pelajar remaja.

 

1.5 Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pembelajaran Remaja

Hakikat bahawa pendidikan merupakan kunci utama kepada pelbagai kejayaan yang dicapai oleh orang dewasa memang tidak boleh dinafikan. Semakin tinggi tahap pendidikan seseorang, semakin cerah peluangnya untuk mendapatkan pekerjaan yang bagus dan semakin mantap kedudukan ekonominya. Seiring dengan hal ini, semakin lama seseorang remaja menjalani kehidupan sebagai penuntut di sekolah serta semakin akrab hubungannya dengan sekolah dan semakin tinggi darjah penglibatan pelajar dan ibu bapa dengan sekolah, maka semakin rendahlah kecenderungan remaja untuk terlibat dengan gejala salah laku atau menghadapi kegagalan dalam pelajaran.

Secara umumnya, remaja berminat untuk belajar sekiranya mereka berpeluang untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran, minat dengan bahan pengajaran dan bahan pengajaran mempunyai kaitan dengan persoalan yang sedang difikirkan oleh mereka (McKinney, Schiamberg dan Shelton, 1998).

Berpandukan pelbagai sumber kajian saintifik yang dikumpulkan, Flannery dan Wester (2004) menyimpulkan bahawa terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi pencapaian akademik remaja. Antara faktor tersebut adalah tahap motivasi remaja, tingkah laku mereka, jangkaan guru terhadap keupayaan mereka, faktor sosial di luar kawalan remaja seperti sokongan ibu bapa terhadap guru sekolah dan perbezaan budaya. Semua faktor ini saling berkait. Namun, tidak semua faktor memberikan kesan yang serupa ke atas pencapaian akademik remaja. Seseorang remaja tertentu mungkin akan menerima kesan yang lebih hebat bergantung kepada kekuatan faktor tersebut, masa pendedahan terhadap sesuatu faktor dan tempoh pendedahan tersebut. Dalam pada itu, terdapat juga remaja yang begitu terdedah dengan risiko sesuatu faktor tetapi masih mampu melalui pola perkembangan kehidupan yang positif meskipun kurang mendapat sokongan daripada pihak-pihak tertentu, misalnya ibu bapa.

Bagi memudahkan perbincangan tajuk ini, maka faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran atau pencapaian akademik remaja dibahagikan kepada tiga aspek, iaitu aspek diri remaja itu sendiri, aspek keluarga remaja dan aspek sekolah.

No comments:

Post a Comment