Sunday, August 31, 2014

Pendahuluan

Buku Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar Edisi Kedua ditulis khusus untuk pelajar-pelajar yang mengikuti kursus di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan Diploma Pendidikan di universiti-universiti tempatan dan di institut-institut perguruan. Tajuk-tajuk yang disusun secara sistematik membolehkan pelajar memahami teori dan aplikasi unsur-unsur psikologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam edisi kedua ini, beberapa subtopik baharu dan nota terkini ditambah untuk membolehkan pelajar menggunakannya sebagai rujukan berinformatif yang mutakhir.

Buku Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar Edisi Kedua memberikan motivasi kepada para pelajar dalam penerimaan ilmu pengetahuan dan pengalaman kehidupan seseorang. Tajuk-tajuk yang dimuatkan di dalam buku ini merangkumi aspek teori dan aplikasi tentang pembelajaran. Selain itu, turut dimuatkan ialah personaliti pelajar remaja, pembelajaran melalui kognitif, afektif dan psikomotor.

Dalam mendekati pelajar remaja dalam suasana bilik darjah, topik-topik seperti pembelajaran berasaskan minda, kecerdasan pelbagai, gaya pembelajaran, modifikasi tingkah laku, kemahiran pemikiran dan dorongan dalaman terhadap pembelajaran remaja dilihat antara topik pembelajaran yang dibincangkan di dalam buku ini.

Topik-topik yang dimuatkan di dalam buku adalah sesuai sebagai bahan rujukan untuk pelajar mendalami ilmu Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar yang dianggap penting dalam menangani masalah pembelajaran dan tingkah laku di peringkat sekolah rendah, menengah, institut-institut perguruan dan universiti.

Para penulis berharap agar buku ini dapat membantu para pensyarah, guru dan pelajar mengharungi dunia pendidikan, khususnya. Topik-topik yang mendasari aspek psikologi pendidikan sebagai kursus profesionalisme perguruan dapat memberikan manfaat kepada para pensyarah dan pelajar di peringkat pengajian tinggi dan para guru yang mengajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia.

 

Suppiah Nachiappan

Kamarulzaman Kamaruddin

Abdul Aziz Abdul Shukor

Ramlah Jantan

Roslinda Mustapha

Hazalizah Hamzah

 

No comments:

Post a Comment